RUMAH TANGGA bahagia bertunjang pada tiang yang kukuh. Andai goyah satu tiang maka goyahlah istana yang dibina. Mewujudkan ‘rumahku syurgaku’ bukanlah suatu yang mudah jika suami dan isteri tidak faham peranan masing-masing.
Penyelia Unit Pembangunan Insan (UPI) Kawasan Jabi, Besut, Ramlah Awang ketika menyingkap kisah hidupnya berkata, keutuhan rumah tangga bergantung sejauh mana keutuhan suami dan isteri berpegang dengan ajaran Islam.
"Kita tidak boleh membentuk rumah tangga mengikut cita rasa kita tetapi mengikut cita rasa Tuhan walaupun bertentangan dengan cita rasa kita sendiri," ujarnya.
Katanya, untuk melahirkan ‘rumahku syurgaku’ bukan semudah ungkapan dibibir mulut tetapi ia perlu dibentuk dengan kecekalan dan kesabaran dengan patuh tunduk menurut perintah Tuhan. Yang paling penting katanya, persefahaman suami dan isteri serta tolak ansur dalam menyelesaikan perselisihan menjadi rencah yang boleh menjurus ke arah pembentukan rumah tangga harmoni.
Beliau yang juga isteri bekas seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tahun 1982, Allahyarham Haji Mohamad Jusoh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Setimat, sering mengenangkan kehidupan bersama suami dan mengharapkan Allah merestui kehidupan itu sekaligus merasa bahagia bersama bekas suaminya.
Di samping itu katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada pendidikan anak-anak kerana ia suatu yang tidak boleh dipisahkan dari rencah kehidupan rumahtangga. "Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah Arab pula menyebut mendidik anak ketika kecil umpama mengukir di atas batu, mendidik ketika anak dewasa umpama mengukir di atas air," jelasnya.
Katanya, Islam menentukan modul pendidikan di kalangan kanak-kanak berdasarkan had umur mereka. Tahap pertama ialah kategori satu hingga tujuh tahun, kedua tujuh hingga 14 tahun dan ketiga 15 tahun ke atas. Di tahap pertama Nabi s.a.w. menyarankan agar mendidik anak dengan belaian, kasih sayang dan kemanjaan. Tahap kedua disiplin perlu diberi perhatian secara serius.
Katanya, dalam salah sebuah hadis, Nabi menyaran supaya ibu bapa menjadikan mereka ini sebagai kawan dengan mendekati dan bertanyakan masalah mereka.
Kawan
"Ini kerana jika kita tidak jadikan mereka sebagai kawan, mereka akan mencari tempat lain untuk mencurahkan masalah. Dan kalau dia mencari kawan yang jahat, tindakan itu memberi kesan yang buruk terhadap kehidupannya," jelas beliau. Seterusnya pada tahap umur 21 tahun ke atas, ibu bapa perlu memberi sedikit kebebasan untuk membuat keputusan bagi menentukan haluan arah tuju kehidupannya.
Menurut Ramlah ibu bapa masih menjadi penunjuk arah dan panduan berfikir kepada anak-anak, yang masih belum boleh berfikir bagi menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri tanpa restu dari kedua ibubapa. Kebebasan anak-anak di peringkat umur ini masih terhad. Mereka masih tidak dibenarkan keluar rumah tanpa keizinan dari kedua ibu bapa. "Apa yang saya amalkan dalam pendidikan anak-anak ialah asas agama. Bermula dari pra sekolah hingga ke peringkat rendah. Setelah tamat darjah enam mereka bebas memilih aliran masing-masing," katanya.
Ramlah yang dilahirkan di Kampung Gong Pasir mempunyai sembilan orang anak yang berjaya hasil perkongsian hidupnya dengan Allahyarham Ustaz Setimat. Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya (Khidmat Nasihat II) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Hajjah Tom Haji Ibrahim berkata, dalam usaha untuk mewujudkan ‘Rumahku Syurgaku’ beliau menyarankan para suami harus berperanan seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Katanya, Rasullullah s.a.w. apabila pulang ke rumah dari musafir baginda membeli hadiah untuk isterinya. Bagaimanapun pada suatu hari baginda terlupa membeli hadiah. Baginda lalu berpatah balik dan pergi ke pasar untuk membeli hadiah walaupun sudah tiba di pintu rumah seorang isteri baginda.
Katanya, peristiwa ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. menghargai pengorbanan isteri walaupun tidak boleh di balas dengan hanya sebuah hadiah. "Ia amat penting kerana dalam membina rumah tangga sebenarnya, kita berkongsi hidup," jelasnya. Secara tidak langsung timbul perasaan kasih sayang terhadap pasangan dan prinsip ini dijadikan amalan dalam mewujudkan rumahku syurgaku.
Menyentuh pendidikan anak-anak pula beliau berkata, contoh paling mudah ialah dengan mengazankan ke telinga kanan dan mengiqamatkan ke telinga kiri kanak-kanak yang baru dilahirkan ke dunia, bertujuan menanam dari awal lagi konsep iman kepada anak-anak.
"Kedua, apabila umur anak tujuh hari berilah nama yang baik-baik. Kemudian aqiqahkan anak-anak sebelum mereka mencapai usia akil baligh," katanya. Pendidikan awal ini diajar nabi supaya lahirnya anak-anak yang baik.
"la bermula dari kecil tetapi kadang-kadang masalah kita ialah bila anak besar baru mencari apa punca masalah sedangkan kita tidak ikut panduan sejak awal," katanya. Menurut beliau, kebanyakan masalah berpunca di rumah kerana jika di rumah cemerlang bermakna di luar juga cemerlang.
Nabi telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud, "Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum ia dilahirkan." Maksudnya bermula dari memilih bakal isteri yang baik-baik.
Seperti kisah bapa kepada Imam Malik iaitu seorang ulama besar. Ada seorang lelaki bertanya bapa Imam Malik, "Bagaimana kamu melahirkan anak yang begitu hebat, imam yang begitu besar hingga boleh melahirkan satu mazhab (Mazhab Maliki). Bapa Imam Malik menyebut, "saya mendidik ibunya dahulu."
Didikan
Seorang pendidik, Hajjah Zainab Ahmad pula memberitahu, untuk mewujudkan rumah tangga yang bahagia ialah dengan memberi salam apabila keluar dan masuk ke rumah. "Kedua, makan bersama anak-anak. Ketiga, sembahyang jamaah bersama. Keempat rajin-rajin menerima kedatangan tetamu. Kelima, sentiasa membaca al-Quran di rumah. Jika tidak membaca al-Quran dan beribadat di rumah, rumah itu seperti kubur," jelasnya.
"Berdoa merupakan amalan baik walaupun ianya terlalu panjang kerana doa mengundang pertolongan Allah, rahmat dan kasih sayangnya," ujarnya. Tanda orang itu ingatkan Allah ialah seseorang sentiasa berdoa kepada Allah memohon rahmat dan kasih sayang-Nya.
No comments:
Post a Comment